KENYATAAN MAHATHIR MENGENAI
RAJA-RAJA
Berikut adalah petikan yang dikemukakan Karpal daripada hansard
bagi persidangan Dewan Rakyat pada 18 Januari 1993:
"Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang mengamalkan
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kekebalan yang
diberikan kepada Raja-Raja perlulah dihapuskan." [Tepuk]’ [Hansard
18 Januari, 1993, halaman 16]
"Sebenarnya ketiga-tiga Perdana Menteri dahulu, sebagai Penasihat
kepada Raja-Raja, telahpun menegur Raja-Raja berkali-kali semasa
mereka berkhidmat. Saya tahu teguran ini dibuat kerana perkara ini
telah dilaporkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan juga Majlis
Tertinggi UMNO berkali-kali.
"Allahyarham Tun Hussein Onn semasa menjadi Perdana Menteri pernah
dalam ucapan bertulis di suatu Mesyuarat Majlis Raja-Raja, yang
dihadiri hanya oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia atau wakil-wakil
mereka sahaja, menegur dengan kerasnya perbuatan Raja-Raja yang
tidak harus dilakukan.
"Tetapi teguran ini tidak berkesan. Pekara-perkara yang disentuh
terus dilakukan juga, bahkan ditingkatkan. Apa yang tidak pernah
dibuat di zaman British dan pada tahun-tahun awalan Malaysia merdeka,
dilakukan dengan semakin ketara da meluas." [Hansard, 18 Januari,
1993, halaman 19]…
"Kerajaan memang mendengar dan menyedari akan pandangan dan
kemarahan sebilangan rakyat yang mengetahui perbuatan Raja.
Demikianlah kemarahan mereka sehingga ada, terutama di kalangan
generasi muda, yang menganggap Sistem Beraja sudah ketinggalan zaman.
"Tetapi oleh kerana Akta Hasutan dan larangan terhadap mengkritik
Raja, Raja tidak mendengar dan tidak percaya kepada Penasihat mereka
apabila maklumat disampaikan berkenaan kegelisahan rakyat. Raja dan
keluarga Diraja nampaknya berpendapat bahawa semua ini adalah
ciptaan Penasihat-penasihat Raja untuk menakutkan Baginda atau untuk
merebut hak Raja.
"Dalam keadaan ini, Raja bukan sahaja akan meneruskan amalan-amalan
yang tidak disenangi atau disukai oleh rakyat tetapi juga akan
melakukan perkara-perkara yang lebih dibenci oleh rakyat. Jika trend
ini tidak disekat, perasaan rakyat terhadap Raja tentu akan meluap
dan menjadi begitu buruk sehingga pada suatu masa nanti rakyat
mungkin tidak lagi dapat membendung perasaan mereka. Perasaan yang
diluahkan dalam surat-surat kepada akhbar sebenarnya sudah lama
wujud.
"Dengan izin, Tuan Yang di-Pertua, saya ingin membaca petikan
daripada satu rencana yang dihantarkan kepada akhbar The Straits
Times pada 1946 oleh seorang tokoh Melayu yang terkemuka,
apabila British mencadangkan penubuhan Malayan Union. Tokoh ini
kemudian memegang jawatan yang tinggi dalam Kerajaan. Rencana ini
tidak disiarkan oleh akhbar Straits Times tetapi ia
disampaikan kepada saya baru-baru ini oleh penulis.
"Penulis ini menyatakan, dengan izin “All intelligent Malay leaders
ought now seriously to give most profound and careful thought to the
question whether the time has not arrived when the Malay Royalty ( I
mean the Sultan and Raja) should gracefully withdraw themselves
altogether”
"Jika pandangan seperti ini sudah ada pada tahun 1946, apakah ia
tidak mungkin wujud semula pada tahun 1993 [Tepuk] jika Raja-Raja
tidak dihalang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak
diingini?” [Hansard, 18 January, 1993, halaman 20-22]…
"Sebelum ini terdapat banyak insiden dimana Raja menganiaya rakyat,
Raja menyalahi undang-undang civil dan criminal, Raja
menyalahgunakan wang serta harta Kerajaan dan Negara, Raja menekan
dan menganiaya pegawai-pegawai" [Hansard, 18 Januari, 1993, halaman
26]